Karangan Bahasa Melayu

Peranan Ibu Bapa Membentuk Masyarakat Penyayang

Dewasa ini, semakin hari, semangat sayang-menyayangi dalam masyarakat semakin terhakis ditelan arus pemodenan dan kemajuan negara. Hal ini terbukti apabila saban hari kita dihidangkan dengan pelbagai kejadian jenayah seperti kes pembunuhan, ragut, rogol serta kes pembuangan bayi yang tidak berdosa. Kejadian-kejadian tersebut sekali gus memadamkan semangat sayang-menyayangi dalam masyarakat antaranya sikap mengambil berat, prihatin dan saling-menghormati dalam masyarakat. Hal ini demikian kerana masyarakat penyayang hanya dapat dibentuk melalui persaan saling-menyayangi dan menghormati sesama ahli keluarga yang merupakan asas kepada pembentukan masyarakat. Ibu bapa mempunyai peranan besar dalam melahirkan individu yang penyayang sekali gus mewujudkan masyarakat yang penyayang di nusa tercinta ini.

Ibu bapa berperanan memberikan kasih sayang yang secukupnya kepada anak-anak. Kehidupan anak-anak harus diisi dengan kasih sayang oleh ibu bapa dengan menyemai sikap penyayang dalam diri anak-anak sejak kecil lagi seperti kata peribahasa melentur buluh biarlah dari rebungnya. Sifat kasih sayang yang dipupuk sejak kecil akan lebih mudah terlaksana malah akan terus sebati dalam diri anak-anak apabila mereka dewasa. Dalam hal ini, kehadiran ibu bapa amat penting dalam tempoh anak-anak membesar. Sebagai contoh, ibu bapa harus sentiasa berada di samping anak-anak semasa mereka dalam kekecewaan seperti  gagal dalam peperiksaan untuk menenangkan hati dan sanubari mereka. Sekiranya, hal ini diberikan perhatian oleh ibu bapa maka anak-anak akan berasa dihargai dan masalah yang mereka alami akan dapat diselesaikan melalui pertolongan ahli keluarga. Tegasnya, ibu bapa harus sedia melapangkan waktu untuk mencurahkan kasih sayang kepada anak kerana ibu bapa merupakan insan terhampir dengan diri anak-anak.

Selain itu, didikan agama juga perlu untuk melahirkan masyarakat yang penyayang di negara kita. Hal ini demikian kerana tidak ada agama yang diturunkan oleh Allah s.w.t yang mengajar penganutnya bersikap kasar dan ganas kepada individu lain apatah lagi dalam kalangan ahli keluarga sendiri. Sehubungan dengan itu, ibu bapa seharusnya mengajar anak-anak mereka mendalami ilmu agama dan mendekatkan diri kepada Tuhan. Contoh amalan yang boleh diajar kepada anak-anak adalah menunaikan solat fardhu, membaca Al-Quran dan berzikir. Bagi penganut-penganut agama lain, ibu bapa perlu selalu mengajak anak-anak mereka ke rumah ibadat. Ibu bapa juga boleh menceritakan pada anak-anak, kisah teladan akan kebaikan mengamalkan nilai kasih sayang dalam kehidupan hatta bersikap kasih sayang kepada binatang.  Amalan-amalan ini akan melembutkan hati dan mententeramkan jiwa serta melahirkan anak-anak yang bersahsiah mulia. Sifat ini akan menjadi darah daging dalam diri anak-anak dan mendorong mereka untuk berperi laku baik seterusnya sentiasa menyayangi keluarga. Oleh itu, tidak dapat dinafikan lagi didikan agama yang secukupnya amat penting dalam melahirkan individu penyayang.

Di samping itu, ibu bapa juga haruslah menunjukkan nilai-nilai yang baik kepada anak-anak mereka. Ibu bapa mestilah menjadi suri teladan kepada anak-anak mereka dan tidak bersikap seperti ketam mengajar anaknya berjalan betul. Hal ini demikian menunjukkan keperibadian anak-anak mencerminkan perwatakan ibu bapa mereka. Banyak nilai baik yang boleh ditunjukkan kepada anak-anak. Sebagai contohnya, ibu bapa mengamalkan semangat kejiranan yang tinggi. Antaranya, mereka perlu melibatkan diri dalam aktiviti gotong-royong, menziarahi jiran yang sakit serta dilanda musibah. Ibu bapa janganlah sekali-kali menunjukkkan sikap zalim dan menindas atau menipu orang lain khususnya di hadapan anak-anak.  Nilai-nilai baik ini akan menjadi ikutan kepada anak-anak. Jelas bahawa, semangat hormat-menghormati, bekerjasama dan saling-membantu dalam masyarakat  akhirnya membentuk sifat penyayang dalam diri anak-anak yang juga merupakan ahli masyarakat.

Seterusnya, keadaan keluarga yang stabil dari segi fizikal dan rohani juga amat perlu bagi melahirkan individu dan masyarakat yang penyayang. Ibu bapa mempunyai peranan besar dalam membentuk keluarga yang stabil. Keluarga yang stabil dari segi fizikal ialah keluarga cukup dari segi kewangan serta mampu menyediakan segala kemudahan dan keperluan hidup berumah tangga. Manakala keluarga yang stabil dari segi rohani ialah keluarga yang saling-menyayangi , hormat-menghormati serta saling-membantu. Sekiranya kedua-duanya dapat dipenuhi oleh ibu bapa maka anak-anak akan hidup dalam keadaan tenang dan harmonis tanpa mengalami sebarang tekanan. Mereka akan lebih terpaut hati untuk berkongsi masalah dengan ibu bapa berbanding menceritakan masalah yang dihadapi dengan rakan yang kurang dikenali hati budinya. Di samping itu juga, ibu bapa harus memastikan hubungan kekeluargaan sesama ahli keluarga erat bagi melahirkan keluarga yang penyayang. Hubungan yang renggang dalam kalangan ahli keluarga menyebabkan anak-anak akan mencari ‘kasih sayang’ di luar rumah yang akhirnya akan menjahanam dan memusnahkan kehidupan mereka.

Masyarakat  penyayang juga dapat dilahirkan melalui hubungan baik dengan masyarakat sekeliling. Ibu bapa harus mendekatkan anak-anak dengan masyarakat setempat bagi mewujudkan hubungan baik dengan masyarakat. Sebagai contoh, ibu bapa boleh mengajak anak-anak untuk menyertai gotong-royong di kawasan tempat tinggal atau solat berjemaah di surau atau masjid. Ibu bapa juga perlu memberikan kesedaran kepada anak-anak mereka akan peri pentingnya nilai kasih sayang dalam kehidupan khususnya semasa berinteraksi dengan masyarakat pelbagai kaum. Dengan menjadikan negara-negara lain sebagai contoh dan teladan seperti perang saudara yang berlaku di Somalia ditambah lagi dengan kebuluran yang berlaku, anak-anak dapat diajar tentang kepentingan amalan kasih sayang. Melalui kasih sayanglah pelbagai bantuan dihulurkan oleh masyarakat antarabangsa kepada negara-negara yang ditimpa bencana seperti bencana Tsunami yang berlaku di Jepun baru-baru ini. Jelas bahawa, hubungan silaturahim yang erat dapat melahirkan individu dan masyarakat yang penyayang.

Konklusinya, ibu bapa berperanan besar dalam melahirkan individu dan sekali gus masyarakat yang penyayang di negara kita. Oleh itu, ibu bapa harus meningkatkan  peranan mereka semaksimum mungkin, namun dalam masa yang sama tidak mengamalkan sikap pilih bulu antara anak-anak. Apa yang diharapkan oleh semua orang ialah amalan kasih sayang yang berjaya dipraktikkkan  akan mampu mewujudkan masyarakat yang sejahtera. Ingatlah!, individu yang penyayang akan mewujudkan keluarga cemerlang seterusnya melahirkan masyarakat serta bangsa yang terbilang.

.

Advertisement

Sinopsis Bab 7, 8, 9 (Novel Tingkatan 2)

Novel Jalan Ke Puncak : Sinopsis Bab 7, 8, 9 (Novel Tingkatan 2)

Sinopsis Bab 7

Laiman ditegur oleh ayahnya Pak Kiassim kerana menolak tawaran bekerja di jabatan pertanian. Ayahnya kesal kerana selama ini dia telah banyak berkorban untuk pengajian Laiman di Universiti, tetapi Laiman tidak memanfaatkan kelulusan yang dimilikinya untuk bekerja terutama dengan jabatan kerajaan sebaliknya Laiman pulang ke kampung untuk menjadi petani. Laiman begitu tertekan kerana cita-cita dan impiannya tidak difahami oleh ayahnya. Laiman ingin membuka mata penduduk kampung supaya gigih berusaha tanpa mengharapkan bantuan daripada kerajaan seperti mana yang dilakukannya bersama sepupunya Milan. Laiman mendapat sokongan daripada sepupunya dalam usahanya itu.

Sinopsis Bab 8

Rancangan Laiman untuk mengusahakan tanah paya berhampiran tanah sawah milik Pak Sahok untuk dijadikan kolam ternakan ikan tidak dipersetujui Pak Sahok. Walaupun tanah paya itu tidak termasuk dalam geran Pak Sahok, namun Pak Sahok ada mengusahakan sebahagian paya itu untuk dijadikan sawah. Laiman tidak berputus asa. Dia terus memujuk Pak Sahok. Sementara itu kebun tembikainya mula berbuah. Laiman dibantu oleh Milan untuk mengusahakan kebun itu. Dia juga berazam untuk meneruskan projek ternakan lebah madu. Laiman bercadang untuk mengambil anak-anak muda kampung itu untuk bekerja dengan mereka.

Sinopsis Bab 9

Pak Sahok tetap berkeras dan tidak membenarkan Laiman untuk melaksanakan projek di kawasan tanah miliknya walaupun ditawarkan untuk berkongsi  pendapatan daripada projek ternakan ikan air tawar itu. Laiman terpaksa mengalah dan cuba memikirkan tempat lain yang lebih sesuai. Namun Laiman dan Milan masih buntu. Pada masa yang sama ayahnya mula menyedari hasil usaha Laiman telah mendatangkan hasil. Kejayaan tanaman tembikai Laiman mula menjadi buah mulut penduduk kampung. Pak Kiassim menawarkan diri untuk berbincang dengan Pak Sahoh berkaitan projek ternakan ikan air tawar di tanah paya berhampiran tanahnya. Laiman berasa terharu. Dia meminta maaf kerana selama ini dia tidak dapat memenuhi hasrat ayahnya supaya bekerja sebagaimana siswazah lain.

.

Sinopsis Bab 4, 5, 6 (Novel Tingkatan 2)

Novel Jalan Ke Puncak : Sinopsis Bab 4, 5, 6 (Novel Tingkatan 2)

Sinopsis Bab 4

Laiman dan Soniah menghabiskan cuti hujung minggu dengan bersiar-siar di Bandar Miri. Mereka berbincang tentang rancangan masa depan Soniah yang ingin melanjutkan pelajaran dalam jurusan kejuruteraan. Bagi Laiman, bidang kejuruteraan amat mencabar dan tidak sesuai dengan Soniah kerana risiko untuk menjalakan tugas cari gali minyak memakan masa berbulan-bulan lamanya. Bagi Soniah, dia suka akan cabaran dan menjadi seorang jurutera merupakan impiannya. Soniah turut bertanyakan tentang kejadian kebakaran yang berlaku kepada Laiman. Laiman berharap kejadian tersebut tidak menjejaskan perjalanan kuliahnya di universiti. Sewaktu Laiman dan Soniah sedang bersiar-siar, Laiman menyedari kehadiran Muluk yang memerhatikan gerak-geri mereka.

Sinopsis Bab 5

Setelah pulang dari universiti, Laiman berubah.

Sinopsis Bab 6

Laiman kini mengusahakan tanaman tembikai di kampung halamannya di Sabah. Walaupun hanya bekerja sebagai petani, Laiman tidak peduli. Dia ingin manyahut seruan kerajaan supaya siswazah berdikari dan tidak bergantung kepada kerajaan. Baginya rezeki ada dimana-mana asalkan rajin berusaha. Laiman juga merancang untuk mengusahakan projek ternakan lebah madu dan ikan air tawar. Laiman masih diusik kenangan setahun lalu ketika dia menjalani latihan di Sarawak. Terbongkar juga akhirnya punca kejadian kebakaran tangki minyak. Rupa-rupanya Muluk cemburu akan Laiman kerana menyangka Laiman menjalin hubungan cinta dengan Soniah. Oleh sebab cintanya tidak berbalas, Muluk menaruh dendam dan berniat menyusahkan sesiapa sahaja yang mendampingi Soniah. Muluklah yang membakar tangki minyak. Akibat perbuatannya itu, Muluk menerima hukuman.

.

Sinopsis Bab 1, 2, 3 (Novel Tingkatan 2)

Novel Jalan Ke Puncak : Sinopsis Bab 1, 2, 3 (Novel Tingkatan 2)

Sinopsis Bab 1

Laiman merupakan mahasiswa tahun tiga jurusan kejuruteraan daripada sebuah universiti tempatan, sedang mengikuti latihan dengan syarikat milik Shell. Pada masa yang sama, Laiman berasa banyak perkara yang perlu dipelajari daripada latihan berkenaan termasuklah menimba pengalaman untuk berdikari sebagai seorang usahawan suatu hari nanti. Laiman teringat kawan sekuliahnya Chow Chin yang begitu berdikari walaupun berasal daripada keluarga berada. Khabarnya Chow Chin telah menjadi seorang pengurus sebuah hotel mewah di kota. Laiman yakin pengalaman tanpa kelulusan juga mampu mengubah nasib kehidupan seseorang.

Sinopsis Bab 2

Laiman bersiar-siar ke Lutong selepas waktu pejabat. Kerjanya telah selesai. Pengurusnya berpuas hati dengan kecekapan dan sikap Laiman. Ramai yang memuji Laiman. Di pekan Lutong, Laiman terjumpa rakan sekerjanya Soniah. Mereka berbincang hal kerja. Soniah telah bertanya Laiman tentang Muluk. Bagi Laiman, Muluk seorang pemuda yang bersikap aneh. Dia tidak pernah berbual dengan pemuda itu. Apabila Laiman bertanya lebih lanjut tentang Muluk, Soniah enggan menjawab, seolah-olah Soniah sedang menyembunyikan sesuatu mengenai Muluk. Akhirnya Laiman membiarkan persoalan tentang Muluk begitu sahaja tanpa sebarang jawapan daripada Soniah.

Sinopsis Bab 3

Sukri, ketua jabatan yang menyelia Laiman telah menerima berita bahawa sebuah tangki minyak yang dibaiki oleh Laiman telah terbakar. Ketika kejadian Laiman berada di Kuching untuk bertemu kawan sekuliahnya yang sedang menjalani latihan di sebuah jabatan kerajaan sambil mengambil buku-buku rujukan yang disimpannya sewaktu sampai di Kuching dahulu. Kebakaran dapat dipadamkan tiga jam kemudian oleh anggota bomba dan pekerja-pekerja di situ. Perkara yang menjadi persoalan kini ialah punca kebakaran tersebut. Sukri berpendapat Laiman tidak wajar dipersalahkan kerana ketika kejadian berlaku, Laiman tiada di situ. Sukri juga memikirkan kerugian dan nasib Laiman yang akan dikenakan tindakan oleh pengurus syarikat. Keesokan harinya, Sukri memaklumkan kejadian tersebut kepada Laiman. Laiman sangat yakin kerja yang dilakukannya cukup rapi dan dia tidak percaya kejadian itu boleh terjadi. Akhirnya Sukri membuat andaian bahawa peristiwa itu terjadi mungkin disebabkan oleh pembuatan khianat. Perkara tersebut mengingatkan Laiman tentang perbualannya bersama Sonia seminggu yang lalu.

.

Soalan KBAT Komsas Tingkatan 5

Soalan KBAT Komsas Tingkatan 5 : Cerpen Hipertensi

1. Insentif-insentif untuk mengembangkan potensi murid-murid yang cerdik seperti Aiman Aqil?

P1 Menawarkan peluang belajar di Permata Pintar Negara.

P2 Memberikan biasiswa khas untuk menyambung pelajaran di universiti-universiti terkemuka di dalam dan luar negara.

P3 Memberi peluang kepada mereka untuk mendalami bidang yang diminati.

P4 Menawarkan laluan terus untuk menamatkan zaman persekolahannya lebih awal (lompat kelas)

.

Soalan KBAT Komsas Tingkatan 5

Soalan KBAT Komsas Tingkatan 5 : Cerpen Cinta Ahmad Mutawakkil (Tingkatan 5) 

1. Faedah-faedahnya jika kita menguasai lebih daripada satu bahasa?

P1 Menambahkan / meluaskan ilmu pengetahuan

P2 Mudah berhubung / berkomunikasi dengan orang lain

P3 Meningkatkan keyakinan ketika berada di khalayak

P4 Mudah mencari / memahami maklumat daripada sumber lain

2. Untuk mengelakkan negara kita dijajah oleh kuasa asing semula?

P1 Kerajaan menyediakan pertahanan negara yang kuat daripada ancaman musuh

P2 Rakyat perlu mengekalkan perpaduan / saling menghormati antara kaum.

P3 Rakyat rela  bersedia menyumbang tenaga demi keselamatan negara.

P4 Pihak sekolah menyemai semangat cinta akan negara kepada para pelajar (kokurikulum)

.

Teknik Plot (Komsas Tingkatan 4) 

Cerpen Jaket Kulit Kijang Dari Istanbul : Teknik Plot (Komsas Tingkatan 4) 

TEKNIK PLOT

  1. Imbas Muka -Contoh: Aku tidak dapat membayangkan jika aku menjadi wanita tua yang menjual makanan burung di situ.
  1. Imbas Kembali -Contoh: Entah mengapa aku tiba-tiba teringat akan Abang Long yang menunggang motosikal pergi balik kerja.
  1. Saspens -Contoh: Perbalahan antara aku dan pekedai Turki membuatkan aku ingin :melangkah keluar tetapi dihalang oleh pekedai Turki dengan wajahnya yang kelihatan marah.
  1. Monolog -Contoh:  Aku terpaku seketika. Apakah jawapan yang lebih baik pada saat itu selain yang dapat menggembirakan Shahmeem?
  1. Dialog – Contoh:  “Dah beli, ke? Ok tak harganya? Tanya kak Chah. “Ok juga. Dah survey tiga, empat kedai. Kedai ni ok. Dapat harga AS$150 sat jaket,” terang Haji Helmi sambil menunjukkan beg plastiknya.

.

Tema dan Persoalan (Komsas Tingkatan 4) 

Cerpen Jaket Kulit Kijang Dari Istanbul : Tema dan Persoalan (Komsas Tingkatan 4) 

TEMA           

Pengalaman seorang pelancong yang suka melancong serta terjerat dengan pembelian jaket kulit kijang yang tidak disengajakan demi menjaga hati dan kegembiraan penjual jaket, rakannya serta dirinya demi mengelakkan pembunuhan haiwan-haiwan yang dilindungi demi kelangsungan kehidupan moden.

PERSOALAN

  1. Perasaan kasih dan sayang terhadap kehidupan haiwan-haiwan eksotik.

Contoh:- Aku berasa kasihan terhadap haiwan kijang yang terpaksa menjadi korban kerana kulitnya.

  1. Sikap berbudi bahasa sesama insan tanpa mengira bangsa, agama dan negara.

Contoh:- Aku melahirkan kata-kata yang cukup berbahasa kerana tidak mahu menyakitkan hati pekedai Turki itu.

  1. Kewajaran memberikan layanan serta ramah mesra terhadap pelanggan atau pelancong.

Contoh:- Pekedai Turki telah memberikan layanan yang mesra kepada pelanggannya dengan memberikan layanan yang baik serta memberikan minuman percuma kepada pelanggannya.

  1. Kepandaian sikap puji memuji dalam kalangan masyarakat Turki. Contoh:- Masyarakat Turki memang pandai memuji pelanggannya demi melariskan jualan.
  1. Kebijaksanaan dalam menguruskan perbelanjaan kewangan.

Contoh:- Aku telah membuat senarai nama barangan dan cenderahati yang akan dibeli untuk dibawa pulang ke Malaysia.

.

Latar Masa, Latar Tempat, Latar Masyarakat (Komsas Tingkatan 4)

Drama Berkhidmat Untuk Negara : Latar Masa, Latar Tempat, Latar Masyarakat (Komsas Tingkatan 4)

Latar Masa

  1. Alaf baru (Program PLKN – bermula tahun 2004)
  1. Waktu tengah hari. Contoh: Aiman menerima sepucuk surat ketika duduk bersantai di rumah – Nek Sinah menjemput Aiman menikmati makan tengah hari
  1. Waktu pagi – Contoh: Aiman berdialog bersama-sama rakan-rakan di sekolah tentang PLKN yang bakal dihadiri mereka
  1. Waktu petang  – Contoh: Selepas balik dari sekolah Aiman berbual bersama-sama dengan ayah dan ibunya di rumah.

Latar Tempat

  1. Rumah Aiman.  -Contoh: peristiwa Khir Ghazali, Aiman dan Masnah berbincang tentang keengganan Aiman menghadiri PLKN
  1. Sekolah Menengah -Contoh: dialog antara Aiman, Nora, Sundarani, Ah Tiau dan Syuhada tentang senarai nama peserta PLKN yang dipaparkan di papan kenyataan.

Latar Latar Masyarakat

  1. Masyarakat bandar yang sibuk bekerja . -contoh: Khir Ghazali iaitu ayah Aiman digambarkan sebagai hartawan yang sibuk bekerja. Ibunya, Datin Masnah juga selalu tidak berada di rumah manakala kakaknya, Dapnia sibuk dengan tugasan di universiti.
  1. Masyarakat yang penyayang -Contoh: Walaupun Nek Sinah bekerja sebagai pembantu rumah di rumah Khir Ghazali namun dia amat menyayangi Aiman dan memasak makanan kegemarannya serta melayannya seperti cucu sendiri.
  1. Masyarakat yang amanah dalam menjalankan tanggungjawab -Contoh: Posmen dalam drama ini mengedarkan surat kepada penerima dengan penuh tanggungjawab kerana dia berpendapat bahawa surat itu adalah amanah masyarakat terhadapnya.
  1. Masyarakat yang sombong dan mementingkan kekayaan. -Contoh: Aiman berkelakuan biadap terhadap pembantu rumahnya yang sentiasa bersikap lemah lembut. Nek Sinah berasa kesal dengan tingkah laku Aiman dan ahli keluarganya yang hanya mementingkan wang ringgit
  1. Masyarakat yang berfikiran positif. – Contoh: Walaupun Khir Johari  mempunyai pengaruh dan kedudukan untuk membantu Aiman mengecualikan diri daripada menyertai PLKN, namun Khir Ghazali mahu anaknya menyertai program tersebut kerana beliau tahu bahawa anaknya akan memperoleh banyak manfaat daripada PLKN. Cikgu Dahari menerangkan tentang kebaikan PLKN kepada pelajar-pelajarnya agar dapat mengikiskan tanggapan negatif mereka terhadap program tersebut dan memberikan sumbangan mereka kepada negara.

.

Gaya Bahasa (Komsas Tingkatan 4)

Drama Berkhidmat Untuk Negara : Gaya Bahasa (Komsas Tingkatan 4)

GAYA BAHASA

  1. Sinkope. Contoh: kata singkatan ‘tak’ dalam ayat. Saya tak berminat langsung  (m.s 3)
  1. Inversi. Contoh: amanah orang semua surat ini (m.s 4)
  1. Peribahasa. Hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri. (m.s 7)
  1. Bahasa asing. Contoh: penggunaan perkataan bahasa Inggeris daddy, mummy (m.s 14)
  1. Simile. Contoh: perkataan ‘macam’ dalam ayat, Nak angan-angan macam Mat Jenin

.