Sinopsis Bab 7, 8, 9 (Novel Tingkatan 2)

Novel Jalan Ke Puncak : Sinopsis Bab 7, 8, 9 (Novel Tingkatan 2)

Sinopsis Bab 7

Laiman ditegur oleh ayahnya Pak Kiassim kerana menolak tawaran bekerja di jabatan pertanian. Ayahnya kesal kerana selama ini dia telah banyak berkorban untuk pengajian Laiman di Universiti, tetapi Laiman tidak memanfaatkan kelulusan yang dimilikinya untuk bekerja terutama dengan jabatan kerajaan sebaliknya Laiman pulang ke kampung untuk menjadi petani. Laiman begitu tertekan kerana cita-cita dan impiannya tidak difahami oleh ayahnya. Laiman ingin membuka mata penduduk kampung supaya gigih berusaha tanpa mengharapkan bantuan daripada kerajaan seperti mana yang dilakukannya bersama sepupunya Milan. Laiman mendapat sokongan daripada sepupunya dalam usahanya itu.

Sinopsis Bab 8

Rancangan Laiman untuk mengusahakan tanah paya berhampiran tanah sawah milik Pak Sahok untuk dijadikan kolam ternakan ikan tidak dipersetujui Pak Sahok. Walaupun tanah paya itu tidak termasuk dalam geran Pak Sahok, namun Pak Sahok ada mengusahakan sebahagian paya itu untuk dijadikan sawah. Laiman tidak berputus asa. Dia terus memujuk Pak Sahok. Sementara itu kebun tembikainya mula berbuah. Laiman dibantu oleh Milan untuk mengusahakan kebun itu. Dia juga berazam untuk meneruskan projek ternakan lebah madu. Laiman bercadang untuk mengambil anak-anak muda kampung itu untuk bekerja dengan mereka.

Sinopsis Bab 9

Pak Sahok tetap berkeras dan tidak membenarkan Laiman untuk melaksanakan projek di kawasan tanah miliknya walaupun ditawarkan untuk berkongsi  pendapatan daripada projek ternakan ikan air tawar itu. Laiman terpaksa mengalah dan cuba memikirkan tempat lain yang lebih sesuai. Namun Laiman dan Milan masih buntu. Pada masa yang sama ayahnya mula menyedari hasil usaha Laiman telah mendatangkan hasil. Kejayaan tanaman tembikai Laiman mula menjadi buah mulut penduduk kampung. Pak Kiassim menawarkan diri untuk berbincang dengan Pak Sahoh berkaitan projek ternakan ikan air tawar di tanah paya berhampiran tanahnya. Laiman berasa terharu. Dia meminta maaf kerana selama ini dia tidak dapat memenuhi hasrat ayahnya supaya bekerja sebagaimana siswazah lain.

.

Leave a comment